[VIDEO] Saya, PKR tak mungkin lebih Melayu daripada UMNO, Bersatu - Saifuddin

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan PKR tidak mungkin mendakwa lebih Melayu daripada UMNO atau Bersatu, malah tidak mampu mengatasi Pas dalam membawa imej parti Islam.

Menurut beliau, persaingan berasaskan identiti kaum dan agama hanya menjadi kerugian yang tidak menghasilkan sebarang pemenang, sebaliknya rakyat perlu menilai prestasi kerajaan dalam menyelesaikan masalah sebenar negara.

"Tak mungkin saya dan Keadilan (PKR) boleh mengaku bahawa kami lebih Melayu daripada UMNO atau Bersatu ataupun saya nak kata saya tak boleh lebih Islamik daripada Pas kerana niche dia adalah parti Islam. Jadi siapa menang? It's a zero-sum game, tak ada pemenang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, selepas 69 tahun negara mencapai kemerdekaan, perdebatan politik seharusnya beralih daripada isu identiti kepada prestasi kerajaan dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Katanya, politik prestasi membolehkan rakyat menilai pencapaian sebenar sesebuah kerajaan, termasuk dalam menangani kemiskinan dan penyalahgunaan dadah.

"Negeri miskin ini dikaitkan dengan apa? Insiden dadah yang paling tinggi di Malaysia bagi setiap 100,000 penduduk. Jadi bila paling miskin, dadah paling teruk, tiba-tiba kita hanya bercakap tentang politik identiti Melayu, Cina, India.

"Sebab apa? Sebab tak ada masa untuk rakyat semak politik prestasi. Kenapa kemiskinan masih lagi serius? Kemiskinan diikuti pula dengan kelemahan-kelemahan lain. Kalau nak bercakap tentang Islam dan Melayu terancam, Melayu terancam apabila kemiskinan bermaharajalela," jelas beliau.

**media[3595945]**

Terdahulu, ketika berucap, Saifuddin menggesa rakyat beralih daripada politik identiti kepada politik prestasi dengan menegaskan penilaian terhadap kerajaan seharusnya dibuat berdasarkan keupayaan menyelesaikan masalah rakyat, bukannya sentimen kaum atau agama.

Menurutnya, politik identiti hanya mewujudkan pertentangan antara "kami" dan "mereka", sedangkan politik prestasi memberi manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.

Beliau berkata, dasar membasmi kemiskinan yang dilaksanakan tanpa mengira warna kulit akhirnya akan memberi manfaat paling besar kepada orang Melayu kerana golongan itu merupakan kumpulan terbesar yang berada dalam kategori miskin berdasarkan statistik.

"Kalau kita letakkan satu dasar membasmi kemiskinan, kita tahu secara statistiknya orang Melayu di negara kita paling ramai yang miskin.

"Kalau dasar itu membasmi kemiskinan, sementara Cina miskin dibantu, India miskin dibela tetapi dasar membasmi kemiskinan tanpa mengenal warna kulit, orang Melayu akan menjadi penerima manfaat terbesar sebab mereka paling ramai yang miskin.

"Kalau pemerintah datangkan satu program untuk benar-benar berusaha ke arah kemiskinan sifar, itu dasar yang betul. Kita ajar rakyat menilai mengikut prestasi.

"Berbeza dengan kita ajak rakyat berbahas di satu sudut iaitu politik identiti. Sudah sampai masanya kita mengajak rakyat berganjak dan menilai mengikut prestasi," katanya.

Beliau turut menjelaskan kenyataannya itu tidak mempunyai kaitan dengan pengundian awal mana-mana pilihan raya kecil, sebaliknya merupakan mesej umum mengenai keperluan mengutamakan politik berasaskan prestasi.

"Ini bukan sebahagian daripada kempen. Ini adalah sidang media menjawab soalan wartawan," katanya.